Tuesday, October 12, 2010

Solat

Pertama kali aku nak sambung belajar di Indonesia, nasihat yang paling kerap aku dengar adalah, 
"Ana, jangan tinggal sembahyang. Solat mesti cukup."
Dalam buku Penenang Hati, ada beberapa topik berkenaan dengan solat. Menyempurnakan solat dengan khusyuknya, Khusyuk dalam sembahyang, Keutaamaan Solat, Seksaan meninggalkan solat dll..dan berikut merupakan beberapa petikan dari buku tersebut yang menyedarkan aku..

Allah s.w.t berfirman: 
"Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman yakni mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya."
(Al-Mukminin:1-2)
Rasa macam susah nak khusyuk dalam solat. Ada je benda nak fikir. Kalau sebelum solat lupa kat mana letak kunci, tengah solat lah baru ingat, letak kat atas peti sejuk. Habis salam, cepat-cepat doa, cari kunci. Lagilah kalau ada budak kecil main kejar-kejar. Ya ampun. Rasa macam nak cubit je. Tu belum lagi ternampak orang yang sembahyang kat depan terlucut kain sembahyang. Terpaksa tahan ketawa. Aduhai...


Khusyuk adalah perbuatan hati. Namun sesetengah ulama ada yang menganggapnya sebagai perbuatan anggota badan. Iaitu dia tidak menoleh atau bermain-main. Ada juga yang berpendapat bahawa khusyuk merupakan keutamaan solat saja.

Dirawikan dari Hasan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda:
"Solat lima waktu ibarat sungai yang banyak airnya mengalir pada tiap-tiap seorang kamu. Setiap hari ia mandi di situ lima kali. Apakah ia masih kotor? Yakni solat itu membersihkan dosa. Kecuali dosa besar. Jika solat dilakukan dengan khusyuk dan hadir. Jika tidak, maka solat itu ditolak."
Rasulullah SAW bersabda:
" Barangsiapa solat dua rakaat, hatinya tidak ingat sesuatu pun tentang dunia, maka dosa yang terdahulu diampuni."
Rasulullah SAW juga pernah bersabda:
"Allah tidak memandang solat seseorang di mana hati dan badannya tidak hadir di situ."
Pada pendapat aku, sabda di atas adalah yang paling ringkas dan senang nak difahami. Hati dan badan kita kena hadir dalam solat. Bukan badan sahaja. Hati dan badan bersama-sama menunaikan solat. Contohnya, ini yang ustaz aku pernah cakap. Semasa baca Al-Fatihah, mulut kita baca, tapi hati kita kena terjemah 7 ayat dalam surah tersebut.


(1) Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.  
(2) Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta Alam,
(3) Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang,
(4) Pemilik hari pembalasan.
(5) Hanya kepada Engkaulah kami menyembah dan hanya kepada Engkaulah kami memohon pertolongan.
(6) Tunjukkanlah kami jalan yang lurus,
(7) (yaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau beri nikmat kepadanya; bukan (jalan) mereka yang dimurkai, dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat.


Dirawikan dari Hatim al-Ashom. Dia ditanya tentang solatnya. Maka dia menjawab, "Ketika tiba solat, kusempurnakan wudhuk ku, aku pergi ke tempat solat, aku diam sejenak kerana hendak mengumpulkan seluruh jiwaku, lalu ku dirikan solat. Aku jadikan Kaabah di depan mataku, sirat di bawah tapak kakiku, Syurga di kananku, Neraka di kiriku, Malaikat Maut di belakangku, dan kukira itu solatku yang terakhir, kemudian aku berdiri di antara berharap dan takut, aku takbir sungguh-sungguh, membaca dengan tartil, rukuk dengan tawaduk, sujud dengan khusyuk, aku duduk tahiyat awal dan akhir dengan ikhlas dan aku tidak tahu apakah solatku diterima atau tidak."

Hidup dalam era moden boleh tahan mencabar..

Rasa ada hati nak tinggalkan solat? Fikir masak-masak...


Dan Allah SWT berfirman:
"Apakah sebabnya kamu masuk neraka? Sahut mereka itu, "Kami tiada solat. Dan tidak pula memberi makan orang miskin. Dan kami telah masuk ke dalam yang batil bersama orang-orang yang masuk ke dalamnya."
(Al-Mudatstir: 42-45)
 Dalam satu riwayat dengan sanad sahih:
" Jangan sekutukan Allah dengan sesuatu, meskipun kau dibunuh dan dibakar. Jangan derhaka kepada kedua orang tuamu. Meskipun mereka mengusirmu dari keluarga dan hartamu. Dan jangan tinggalkan solat wajib dengan sengaja. Siapa sengaja meninggalkannya, terlepas dia dari tanggungan Allah. Juga jangan kau minum arak sebab itu sumber segala yang keji. Serta hindarkan maksiat, sebab dengannya akan ditimpa murka Allah. Jangan kau lari dari pertempuran . Meskipun orang porak peranda dan kematian menimpa mereka, maka tetaplah kau. Nafkahkan kepada keluargamu dari kelonggaranmu. Jangan kau angkat tongkatmu dari mereka kerana beradab serta tutupilah mereka kerana Allah."
Muhammad bin Nadhar berkata, "Aku dengar Ishaq berkata, "Benar dari Rasulullah SAW:
"Sesungguhnya orang yang meninggalkan solat dengan sengaja tanpa ada uzur sehingga habis waktunya, dia orang kafir."
"Amal yang mula-mula ditanyakan pada hamba pada hari Kiamat adalah solatnya. Jika solatnya baik, sungguh beruntung dan selamatlah dia. Jika solatnya tidak dijaga, sungguh rugilah dia."
"Maka celakalah (seksalah) bagi orang tersebut kerana mereka itu lalai menjaga sembahyangnya." 
(Al Ma'un: 4-5) 
Rasulullah SAW bersabda:
"Mereka itu orang-orang yang mengakhirkan solat."
Sesetengah mengatakan, "Dirawikan pula bahawa yang pertama sekali hitam mukanya pada hari Kiamat ialah orang yang meninggalkan solat. Dan sesungguhnya di Jahanam itu ada jurang yang biasa disebut Lamlam. Di situ ada banyak ular. Setiap ular seberat unta dan panjangnya sebulan perjalanan. Ia menyengat orang yang meninggalkan solat. Upasnya masuk dalam tubuhnya tujuh puluh tahun hingga dagingnya terkelupas."

Ada suatu peristiwa di mana ada seorang perempuan dari Bani Israel datang kepada Musa a.s. Dia meminta," Wahai Nabi Allah, aku telah melakukan dosa besar dan aku telah bertaubat. Maka doakan kepada Allah agar mengampuniku dan menerima taubatku. Nabi Musa a.s bertanya, "Apakah dosamu?" Perempuan itu berkata, "Aku telah berzina hingga melahirkan seorang anak lalu kubunuh." Musa a.s. berkata, "Keluarlah wahai pelacur! Jangan kau turunkan api dari langit hingga membakar kami atas lacurmu!" Perempuan itu pulang dengan hati yang sedih. Lalu datang Jibril as dan berkata, "Wahai Musa! Tuhan berkata padamu, mengapa engkau usir pelacur yang bertaubat? Engkau tidak bertemu dengan orang yang lebih banyak dosanya?" Musa as bertanya, "Siapa?" Jibril as menjawab, "Orang yang meninggalkan solat dengan sengaja."



Semoga kita semua tergolong dalam golongan orang yang memelihara solat...Amin~

No comments: